Penjelasan Sayyid Muhammad ibn Alwi al-Maliki Tentang Maulid


Berikut kami temukan kitab terjemah dari karangan al-‘Allamah asy-Syaikh as-Sayyid Muhammad bin ‘Alwi bin Abbas bin Abdul Aziz al-Maliki al-Hasani berjudul
“Holal Ihtefaal Bezikra-al Moulidin Nabawee al-Shareef”

Sekitar Peringatan Maulid Nabi Yang Mulia صلى الله عليه وسلم
Mengapa Kita Memperingati Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم?
 
Banyak pendapat telah disuarakan dari segi hukum mengenai memperingati maulid junjungan kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Bagaimana pun tidaklah menjadi tujuan saya yang utama untuk membahaskan soal ini, karena apa yang sering saya fikirkan dan difikirkan oleh para cendikiawan, adalah mengenai masalah-masalah yang jauh lebih penting daripada perkara ini. Tetapi oleh karena desakan para shahabat yang ingin mengetahui pendapat saya dalam hal ini dan karena saya takut terdiri dalam golongan mereka yang menyembunyikan ilmu pengetahuan, maka saya menuliskan risalah ini dengan harapan agar Allah Ta’ala mengarahkan kita semua ke jalan yang benar. آمين
Sebelum saya membentangkan dalil-dalil saya mengenai mengadakan sambutan Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم, saya suka menjelaskan di sini beberapa perkara:-
Pertama: Kami mengatakan harus memperingati maulid baginda صلى الله عليه وسلم dan harus berkumpul untuk mendengar sirah Rasulullah صلى الله عليه وسلم, bershalawat kepadanya, mendengar qasidah-qasidah yang memujinya, mengadakan jamuan makan, yang mana semua ini akan menimbulkan kegembiraan dan ketenangan di hati sanubari kaum muslimin.
Kedua: Kami tidak mengatakan sunnah memperingati maulid baginda صلى الله عليه وسلم, pada malam tertentu sahaja, malah siapa yang mengi’tiqadkan sedemikian, sebenarnya dia telah membuat satu bid’ah didalam agama. Sebab mengingati dan menghayati sejarah صلى الله عليه وسلم itu adalah wajib dilakukan pada setiap waktu dan masa dengan sepenuh jiwa.
Memang benar, memperingati maulid baginda صلى الله عليه وسلم pada bulan keputeraannya merupakan seruan yang lebih kuat dalam mengumpulkan lebih ramai umat Islam untuk menghadiri majlis-majlis tersebut. Ini akan meninggikan lagi syiar Islam, menghubungkan kisah-kisah zaman dahulu dengan zaman kini, dan mendatangkan manfaat bagi mereka yang tidak hadir daripada mereka yang hadir.
Ketiga: Kumpulan-kumpulan seperti ini merupakan satu perantaraan dan peluang emas untuk berdakwah. Kesempatan ini harus tidak diabaikan, terutama sekali apabila menjadi satu kewajipan bagi para pendakwah dan para ulama untuk mengingatkan umat Islam tentang riwayat hidup Rasulullah صلى الله عليه وسلم, mengenalkan mereka tentang akhlaq, pergaulan, ibadah baginda serta mengajak mereka kepada kebaikan, dan menjauhkan diri mereka daripada bencana, bid’ah dan fitnah.
Dalil-dalil Yang Mengharuskan Memperingati Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم
Dalil Pertama
Bahawa memperingati maulid Nabi صلى الله عليه وسلم, melambangkan satu kegembiraan dan kebahagiaan terhadap junjungan kita Rasulullah صلى الله عليه وسلم . Malah orang kafir (abu Lahab) juga mendapat manfaat dengan kegembiraan ini.(1)
Telah disebutkan di dalam kitab al-Bukhari, bahawa Abu Lahab telah diringankan siksaannya pada tiap-tiap hari Itsnin karena ia telah membebaskan hambanya Tsuwaibah, apabila hambanya itu membawa khabar akan keputeraan Nabi صلى الله عليه وسلم.
Hal ini juga diterangkan dalam sebuah syair al-Hafiz Syamsuddin Muhammad Nasiruddin ad-Dimasyqi:-
إِذَكَانَ هَذَا كَافؤرًا جَاءَ ذَمُّهُ * بِتَبَّتْ يَدَاهُ فِيْ الجَحِيْمِ مُخَلَّدًا
أَتَى أَنَّهُ فِيْ يَوْمٍ الإِثْنَيْنِ دَائِمًا * يُخَفَّفُ عَنْهُ لِلسُّرُوْرِ بِأَحْمَدَا
فَمَا الظَّمُّ بِالعَبْدِ الذَّيْ كَانَ عُمْرُهُ * بِاَحْمَدَ مَسْرُوْرًا وَمَاتَ مُوَحِّدَا
Artinya:
Jikalau sikafir ini (Abu Lahab) yang telah datang cercaan Allah kepadanya (di dalam surah al-Masad) dan celakalah kedua tangannya didalam neraka selama-lamanya
Telah datang (khabar) sesungguhnya dia pada setiap Isnin sentiasa diringankan (azab siksa) darinya karena kegembiraan dengan kelahiran Muhammad (صلى الله عليه وسلم)
Maka tidak syak lagi, bagi seorang hamba yang sepanjang hayatnya bergembira dengan Muhammad (صلى الله عليه وسلم) dan mati dalam keadaan mengesakan Allah (sudah tentu mendapat kelebihan melebihi daripada apa yang dikurniakan kepada Abu Lahab)
Kisah ini diriwayatkan didalam Shahih al-Bukhari, bab nikah dan dinukilkan oleh Ibn Hajar di dalam kitabnya al-Fath. Juga diriwayatkan oleh Imam Abdurrazak as-San’ani didalam kitabnya al-Musannaf (jilid 7 mukasurat 478), al-Hafiz didalam kitabnya al-Dala’il, Ibn Katsir di dalam kitabnya, al-Bidayah bab as-Sirah an-Nabawiyyah (jilid 1 mukasurat 224). Ibn ad-Daiba asy-Syaibani didalam kitabnya Hada’iq al-Anwar (jilid 1, mukasurat 134), Imam Hafiz al-Baghawi didalam kitabnya Syarah Sunnah (jilid 9 mukasurat 76), Ibn Hisyam dan as-Suhaili didalam al-Raudh al-Unuf (jilid 5 mukasurat 192), al-Amiri didalam kitabnya Bahjatul Mahaafil (jilid 1 mukasurat 41).
Imam al-Baihaqi berkata, bahawa walaupun hadits ini hadits mursal, tetapi ia boleh diterima karena telah dinaqalkan oleh Imam al-Bukhari hadits ini di dalam kitabnya. Para ulama yang telah disebutkan tadi, juga sependapat menerima hadits ini karena perkara itu terdiri dari bab manaqib dan khosois (keistimewaan), fadhoil (kelebihan) dan bukannya perkara berkaitan hal hukum halal dan haram. Para penuntut ilmu agama tentu sekali tahu perbezaan istidlal (pengambilan dalil) dengan hadits pada bab manaqib atau ahkam.
Berkenaan dengan manfaat seorang kafir daripada amal perbuatannya sendiri, banyak ulama telah membahaskannya. Tetapi tidak dapat saya terangkan sepenuhnya disini. Asalnya adalah apa yang disebutkan di dalam kitab al-Bukhari berkenaan dengan Abu Thalib mendapat keringanan siksa disebabkan doa Rasulullah صلى الله عليه وسلم.
Dalil Kedua
Nabi صلى الله عليه وسلم sendiri memuliakan maulidnya, dan bersyukur kepada Allah Ta’ala pada maulidnya, diatas nikmat dan kelebihan yang besar yang telah diberikan Allah ke atas wujudnya di alam semesta ini, yang membawa kebahagiaan pula kepada segala yang maujud diatas mukabumi ini.
Baginda صلى الله عليه وسلم memuliakan maulidnya juga dengan berpuasa. Hal ini diterangkan oleh sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah:

أَنَّ رَسُوْلَ الله صَلى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ الإِثْنَيْنِ، فَقَالَ: فِيْهِ وُلِدْتُ، وَفِيْهِ أُنْزِلَ عَلَيَّ رواه الإمام مسلم في الصحيح في كتاب الصيام

Artinya: Nabi صلى الله عليه وسلم pernah ditanya akan sebab baginda berpuasa pada hari Itsnin. Baginda menjawab: Pada hari itu aku diputerakan, dan pada hari itu juga wahyu turun kepadaku.” (Hadits riwayat Muslim; Bab Puasa)(2)
Ini jelas menunjukkan bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم pernah menyambut maulidnya. Cuma bentuknya sahaja berlainan, namum haqiqatnya sama, iaitu samada disambut dengan berpuasa, atau mengadakan jamuan makan atau berkumpul untuk mengingati baginda atau bershalawat ketas baginda ataupun mendengar ajaran-ajaran, pesanan-pesanan dan petunjuk dari baginda صلى الله عليه وسلم.
Dalil Ketiga
Sesungguhnya bergembira dengan Baginda صلى الله عليه وسلم dituntut melalui perintah Al-Quran dari firman Allah Ta’ala :
قُلْ بِفَضْلِ ٱللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُواْ
Artinya: “Katakan (wahai Muhammad), dengan kurnia Allah dan rahmatNya, hendaklah dengan itu mereka bergembira …” (Surah Yunus:58 )
Maka Allah Ta’ala lah yang memerintahkan kita untuk bergembira dengan rahmat, dan Nabi صلى الله عليه وسلم sebesar-besar rahmat. Allah Ta’ala telah berfirman :
وَمَآ أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
Artinya: “Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat untuk semesta alam”. (al-Anbiya:107)
Dan dikuatkan lagi tafsiran ini, pakar dalam pentafsiran al-Quran, hibrul ummah wa turjumaanul Quran al-Imam Ibn Abbas رضي الله عنهما. Abu Syeikh meriwayatkan dari Ibn Abbas رضي الله عنهما pada membicarakan ayat di atas beliau telah berkata: فصل الله ialah ilmu, manakala ورحمته adalah Muhammad صلى الله عليه وسلم. Allah telah berfirman: وَمَآ أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ “Dan tidaklah kami utuskan engkau melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam.”(3)
Maka kegembiraan dengan baginda صلى الله عليه وسلم adalah dituntut pada setiap waktu, pada setiap nikmat, dan pada setiap keutamaan, tetapi dikuatkan lagi tuntutan ini pada setiap hari itsnin dan setiap kali bulan Rabi’ul Awwal. Ini adalah karena kuatnya kesesuaiannya serta bertepatan dengan waktunya.
Dalil Keempat
Sesungguhnya Nabi صلى الله عليه وسلم selalu mengambil kira ikatan masa, dengan peristiwa-peristiwa besar dalam agama yang telah berlalu sebelumnya. Apabila datangnya masa berlakunya peristiwa tersebut ia menjadi peluang bagi mengingatinya dan membesarkan hari tersebut karena peristiwa tersebut.
Nabi صلى الله عليه وسلم sendiri telah menetapkan kaedah ini seperti mana dijelaskan dalam hadits shahih bahawa ketika baginda berhijrah ke Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura’. Lalu baginda bertanya mereka. Mereka lalu menjawab: itulah hari Fir’aun ditenggelamkan dan Musa diselamatkan. Maka kami berpuasa sebagai bersyukur kepada Allah Ta’ala. Maka Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:
نَحْنُ أَوْلَى بِمُوسَى مِنْكُمْ
Artinya: Kami lebih layak bagi Musa daripada kalian. Maka baginda pun berpuasa dan memerintahkan sahabat berpuasa.(4)
Dalil Kelima
Bahawa menyambut maulid Nabi صلى الله عليه وسلم membawa kita bershalawat dan mengucapkan salam kepada Nabi صلى الله عليه وسلم, yang mana hal ini sangat dituntut sebagimana firman Allah Ta’ala:
إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلاَئِكَـتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّ يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ صَلُّواْ عَلَيْهِ وَسَلِّمُواْ تَسْلِيماً
Artinya: Sesungguhnya Allah dan MalaikatNya bershalawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman shalawatlah keatasnya dan salamlah dengan sebaik-baik salam.” (Surah al-Ahzab:56)
Apa yang berasaskan sesuatu yang dituntut oleh syara’, maka ia turut dituntut oleh syara’. Malah shalawat ke atas baginda صلى الله عليه وسلم mempunyai faedah yang tidak terkira banyaknya, dimana pena ini tidak sanggup menghitung kesan-kesan nuraninya yang menyelubungi orang yang bershalawat dan salam itu.
Dalil Keenam
Sesungguhnya sambutan Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم dipenuhi dengan memperingati keputeraan baginda yang mulia. Pada sambutan itu kita kan diingatkan dengan mukjizat-mukjizat baginda, sirah baginda agar kita akan lebih mengenali baginda صلى الله عليه وسلم.
Bukankah kita diperintahkan untuk mengenali, mencontohi jejak langkah, mengikuti amalan, dan beriman dengan mukjizat serta membenarkan segala keterangan/tanda-tanda baginda? Dan kitab-kitab maulid banyak memaparkan semua ini.
Dalil ketujuh
Dengan mengadakan sambutan Maulid ini juga sebagai melaksanakan sebahagian kewajipan kita dengan menerangkan sifat-sifat baginda yang sempurna, dan akhlak-akhlak baginda yang mulia.
Diriwayatkan, para penyair datang kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم lalu melantunkan bacaan qasidah-qasidah mereka (memuji baginda) dan baginda meredhai perbuatan mereka seraya memberi ganjaran dengan perkara-perkara yang baik seperti mendoakan mereka.(5)
Kalaulah baginda صلى الله عليه وسلم redha sesiapa yang memuji Baginda, bagaimana mungkin baginda tidak redha atas mereka yang menghimpunkan segala sifat baginda yang mulia. Maka ia merupakan suatu perkara yang dapat mendekatkan diri kepada baginda صلى الله عليه وسلم dengan melakukan perkara yang membuatkan kita memperolehi kecintaan dan keredhaannya.
Dalil Kedelapan
Sesungguhnya mengetahui sifat-sifat, mukjizat-mukjizat dan ciri-ciri baginda صلى الله عليه وسلم membawa kepada kesempurnaan iman dan kecintaan kepada baginda. صلى الله عليه وسلم Hal ini karena tabiat semulajadi manusia adalah menyukai sesuatu yang indah, dalam bentuk baik dari segi rupa mahupun akhlak, ilmu mahupun amalan, keadaan mahupun dan kepercayaan.
Dan tiadalah yang lebih terindah, sempurna dan utama dari akhlak dan sifat-sifat baginda صلى الله عليه وسلم. Menambahkan kecintaan kepada baginda صلى الله عليه وسلم serta kesempurnaan iman amatlah dituntut oleh syara’, dan apa yang boleh membantu menyuburkan keduanya, maka ianya jua dituntut oleh syara’.
Dalil Kesembilan
Mengagungkan baginda صلى الله عليه وسلم dituntut oleh syara’. Manakala bergembira dengan maulid baginda صلى الله عليه وسلم dengan menzahirkan kegembiraan dengan mengadakan jamuan, mengumpulkan masyarakat untuk berzikir, dan memuliakan fakir miskin merupakan antara cara yang paling jelas dalam mengagungkan, memuliakan, bergembira dan bersyukur kepada Allah, karena hidayahNya yang menunjukkan kita kepada agamaNya yang mulia, dan apa-apa anugerahNya kepada kita dengan mengutus Nabi عليه أفضل الصلاة والتسليم.
Dalil Kesepuluh
Dari sabda Nabi صلى الله عليه وسلم berkenaan dengan hari Juma’at dan menyenaraikan keistimewaannya:
وفيه خُلق آدم
Artinya: “Dan padanya (Jumaat) dijadikan Adam”.
Dipetik daripada hadits ini kemuliaan sesuatu waktu yang padanya ditsabitkan kelahiran mana-mana Nabi عليهم السلام. Maka bagaimana pula dengan hari yang mana padanya dilahirkan Nabi yang paling utama dan Rasul yang paling mulia?
Dan kemuliaan hari tersebut bukanlah dikhususkan pada hari tersebut sendiri, tetapi ia mempunyai sifat yang umum, yang mana sentiasa diulang-ulang kemuliannya setiap kali sampai hari tersebut, seperti kemuliaan hari Jumaat.
Ini adalah sebagai mensyukuri nikmat, menunjukkan keistimewaan kenabian serta menghidupkan peristiwa-peristiwa sejarah yang amat penting. Begitu juga sebagaimana yang kita dapati mulianya tempat lahir seorang Nabi, sebagaimana Jibril menyuruh Rasulullah صلى الله عليه وسلم bershalat dua rakaat diBaitullaham (sewatu peristiwa isra’ dan mi’raj), kemudian dia (Jibril عليه السلام) memberitahu kepada Nabi dengan katanya:
أَتَدْرِيْ أَيْنَ صَلَّيْتَ؟ قَالَ: لاَ. قَالَ: صَلَّيْتَ بِبَيْتِ لَحْمٍ حَيْثُ وُلِدَ عِيْسَى
Artinya: Tahukah engkau, dimana engkau bershalat? Jawab Rasulullah: Tidak! Berkata Jibrail: Telah bershalat engkau di Baitullaham, tempat ‘Isa dilahirkan.
Kisah ini telah disebutkan dalam sepotong hadits riwayat Syaddad bin Aus yang diriwayatkan al-Bazzar dan Abu Ya’la juga at-Thabrani. Berkata al-Hafidz al-Haitsami didalam kitabnya Majma’ az-Zawaid jilid 1 mukasurat 47, rijalnya adalah rijal yang shahih. Dan telah menaqalkan kisah ini oleh al-Hafidz Ibn Hajar didalam kitabnya al-Fath (jilid 7 mukasurat 199) dengan tanpa komentar.
Dalil Kesebelas
Bahawasanya sambutan maulid ini adalah satu perkara yang dipandang baik oleh para ulama dan kaum muslimin di seluruh pelusuk negeri. Malah ianya telah diamalkan di merata dunia Islam. Ianya adalah dituntut dari segi syara’ berdasarkan kaedah yang dipetik dari sebuah hadits yang mauquf dari Ibn Mas’ud yang berkata:
مَارَآهُ المُسْلِمُوْنَ حَسَنًا فَهُوَ عِنْدَاللهِ حَسَنٌ ، وَمَارَآهُ المُسْلِمُوْنَ قَبِيْحًا فَهُوَ عِنْدَاللهِ قَبِيْحٌ أخرجه أحمد
Artinya: “Apa-apa yang dipandang oleh kaum Muslimin sebagai perkara yang baik, maka ia baik di sisi Allah. Dan apa-apa yang dipandang oleh kaum Muslimin sebagai perkara yang buruk, maka ia adalah buruk disisi Allah (Hadits ini dikeluarkan oleh Imam Ahmad)
Dalil Keduabelas
Bahawasanya sambutan maulid dipenuhi dengan perhimpunan untuk berzikir, sedekah, serta mengucapkan pujian dan penghormatan kepada Nabi. Semua ini adalah sunnah, dan amat dituntut dari segi syara’. Tidak sedikit hadits-hadits yang shahih yang menekankannya dan mendorong kaum Muslimin mengamalkannya.(6)
Dalil Ketigabelas
Allah Ta’ala telah berfirman:
وَكُـلاًّ نَّقُصُّ عَلَيْكَ مِنْ أَنْبَاءِ ٱلرُّسُلِ مَا نُثَبِّتُ بِهِ فُؤَادَكَ
Artinya: “Dan tiap-tiap berita dari berita rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) untuk menguatkan hatimu dengannya” (Surah Hud:120)
Di sini jelas bahawa hikmah kisah-kisah para rasul disebutkan di dalam al-Quran adalah untuk mengukuhkan hati Baginda yang mulia. Dan tidak syak lagi, pada hari ini, kita amatlah memerlukan kepada pengukuhan hati dengan berita dan cerita Baginda صلى الله عليه وسلم, malah keperluan kita tentulah lebih kuat lagi berbanding keperluan baginda tadi.
Dalil Keempatbelas
Bukan semua perkara yang tidak dilakukan oleh para salaf dan segala yang tidak pernah berlaku pada kurun-kurun awal Islam adalah bid’ah sayyi’ah yang diingkari dan haram melakukannya serta wajib diingkari. Inilah perkara yang selalu tidak difahami oleh mereka yang mengharamkan sambutan ini.
Sebenarnya perkara yang dibarukan dalam agama harus dipandang dan diukur dari segi dalil-dalil syara’. Maka, perbuatan yang mengandungi maslahat (kebaikan) maka ia wajib, jika mengandungi perkara haram maka ia haram. Begitulah juga jika mengandungi perkara makruh ia menjadi makruh, mengandungi perkara harus ia menjadi harus, dan jika mengandungi perkara yang mandub maka ia jua mandub. Dan (menurut kaedah fiqh) bagi semua wasilah sama hukumnya dengan sesuatu tujuan. (وللوسائل حكم المقاصد).
Seterusnya para ulama’ telah membahagikan bid’ah kepada 5 bahagian (sesuai dengan hukum taklifi yang 5 – wajib, mandub, makruh, haram dan harus).
* Wajib: Seperti menolak perbuatan orang-orang yang menyeleweng daripada jalan yang benar dan mempelajari ilmu nahwu
* Mandub: Seperti mengadakan sekolah-sekolah, madrasah, azan di atas menara dan perbuatan baik yang tidak dilakukan pada masa dahulu
* Makhruh: Seperti menghiasi masjid dan juga mushhaf
* Mubah: Seperti menggunakan tapis dan berlebihan makan-minum
* Haram: Seperti apa-apa yang diadakan, bersalahan dengan sunnah dan tidak mempunyai dalil-dalil syara’ yang am, juga tidak meliputi maslahat dari segi syara’.
Dalil Kelimabelas
Bukanlah semua bid’ah itu adalah diharamkan. Jika demikian haramlah perbuatan Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar dan Sayyidina Zaid رضي الله عنهم, mengumpulkan al-Quran dan menulisnya didalam mushaf, karena ditakuiti al-Quran itu hilang setelah matinya para shahabat yang yang alhi dalam membaca al-Quran.
Dan haramlah, Sayyidina Umar رضي الله عنه ketika beliau menghimpun yang bersembahyang tarawikh untuk dilakukan secara berjemaah dengan seorang iman. Beliau berkata:
نِعْمَتِ البِدْعَةُ هذِهِ
Artinya: Alangkah eloknya bid’ah ini.
Nescaya haramlah mengarang kitab-kitab ilmu yang manfaat. Jika demikian, maka wajib kita berperang dengan orang kafir dengan lembing dan panah, sedangkan mereka menetang kita dengan peluru, meriam, kereta kebal, jet pejuang, kapal selam dan senjata-senjata yang lain.
Nescaya haramlah azan diatas menara, membuat sekolah-sekolah, asrama-asrama, hospital, tempat-tempat pertolongan cemas, rumah anak yatim dan penjara.
Oleh karena itu, para ulama رضي الله عنهم telah menentukan hadits: كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ – artinya: Tiap-tiap bid’ah itu menyesatkan – dengan bid’ah sayyiah (bid’ah yang jahat), dan mereka ulama telah menghuraikan hadits tersebut karena sepeninggalan Rasulullah صلى الله عليه وسلم banyak diantara shahabat terkemuka dan para pemimpin tabi’in, yang mengadakan hal-hal baharu yang mana ianya pada masa hidup Rasulullah صلى الله عليه وسلم tidak pernah diadakan.(7)
Kita sekarang banyak melakukan perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh para salaf. Antaranya diadakan tahajjud berjemaah selepas shalat tarawikh pada akhir malam dengan satu imam, mengkhatam al-Quran dalam shalat tersebut, membaca doa khatam al-Quran dan imam berkhutbah ketika shalat tahajjud (8 ) dalam shalat tahajjud pada malam 27 Ramadhan. Dan seruan muazzin untuk mendirikan shalat tahajjud dengan katanya:
صَلاَةُ القِيَامِ أَثَابَكُمُ اللهِ
Artinya: Marilah shalat tahajjud, semoga Allah memberikan balasan pahala kepada kamu.
Semua ini tidak dilakukan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم , juga walau seorang dari kalangan ahli salaf. Adakah semua ini bid’ah yang menyesatkan???
Dalil keenambelas
Memperingati maulid Nabi صلى الله عليه وسلم sekalipun tidak dilakukan pada zaman Nabi صلى الله عليه وسلم, adalah bid’ah hasanah karena termasuk dibawah dalil-dalil syara’ dan kaedah-kaedah yang umum. Ianya dikira sebagai bid’ah karena dilaksanakan secara bermasyarakat dan bukannya secara individu karena amalan ini pernah dilakukan secara individu pada zaman Nabi صلى الله عليه وسلم, sebagaimana tersebut pada dalil yang kedua belas.
Dalil Ketujuhbelas
Perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh generasi salaf dalam bentuk kemasyarakatan tetapi diamalkan secara perseorangan /individu, dituntut oleh syara’ untuk diamalkan. Apa yang telah tersusun dari segi syara’, dituntut untuk diamalkan. Perkara ini amat jelas dan tidak boleh diingkari oleh sesiapa pun.
Dalil Kedelapanbelas
Telah berkata Imam Syafie رضي الله عنه :
مَا أُحْدِثَ وَخَالَفَ كِتَاباً أَوْ سُنَّةً أَوْ إِجْمَاعًا أَوْ أَثَراً فَهُوَ البِدْعَةُ الضَّالَّةُ ، وَمَا أُحْدِثَ مِنَ الخَيْرِ وَلَمْ يُخَالِفْ شَيْئاً مِنْ ذلِكَ فَهُوَ المَحْمُوْدُ
Artinya: “Suatu perkara yang diadakan dan ia bercanggah dengan kitab, sunnah, ijma’ atau atsar, maka ia adalah bid’ah yang sesat. Dan suatu yang diadakan dari perkara kebaikan dan tidak bercanggah dengan sesuatu dari yang disebutkan tadi, maka ia adalah terpuji”
Malah Imam al-Izz bin Abdussalam, Imam An-Nawawi dan juga Imam Ibnul Atsir telah mengkategorikan bid’ah kepada 5 bahagian seperti mana yang telah kita sebutkan sebelum ini.
Dalil Kesembilanbelas
Setiap perkara kebaikan yang diliputi olehnya dalil-dalil syara’, dan tidak bertujuan untuk mereka satu perkara yang baru yang bercanggah dengan syariat, serta tidak mengandungi perkara mungkar, maka ia termasuk dalam agama.
Kata-kata mereka yang taksub bahawa perkara ini tidak pernah dilakukan oleh salaf, bukanlah satu dalil bagi mereka, tetapi dinamakan tiada dalil. Perkara ini amat jelas bagi mereka yang mempelajari dan menyelami ilmu usul fiqh. Malah syari’ telah menamakan bid’ah yang baik sebagai sunnah dan dijanjikan pahala bagi pembuatnya, berdasarkan hadis Nabi صلى الله عليه وسلم:
مَنْ سَنَّ فِيْ الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلا َيَنْقُصُ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيْءٌ
Artinya: Barangsiapa yang memulakan perkara dalam Islam suatu sunnah yang baik, maka dia akan diberi pahala bagi perbuatannya, serta pahala mereka yang mengikutinya, tanpa dikurangkan sedikit pun darinya.
Dalil Kedua puluh
Sesungguhnya sambutan maulid merupakan satu bentuk menghidupkan kembali peringatan kepada Nabi صلى الله عليه وسلم. Dan ingatan ini adalah sesuatu yang disyariatkan di sisi kita dalam Islam.
Lihatlah berapa banyak ibadat dalam Islam yang disyariatkan oleh Allah untuk menghidupkan ingatan kita kembali kepada peristiwa sejarah lampau. Misalnya dalam amalan haji, disyariatkan sa’ie antara Safa dan Marwah serta melontar jamrah, serta menyembelih binatang di Mina. Semua perkara ini merupakan peristiwa lampau yang dikuatkan kembali ingatan tersebut dengan cara membaharukan kembali gambarannya dengan kenyataan. Dalilnya, sebagaimana firman Allah:
وأذِّن في الناس بالحج
Artinya: “Dan serulah manusia mengerjakan haji” (Surah al-Hajj:27).
Dan firman Allah Ta’ala, cerita Nabi Ibrahim dan Ismail عليهما السلام:
وأرنا مناسكنا
Artinya: Dan tunjukkanlah kepada kami tempat-tempat ibadah kami” (Surah al-Baqarah: 128 )
Dalil Kedua Puluh Satu
Setiap apa yang kita nyatakan sebelum ini daripada wajah, dalil serta hujah pensyariatan sambutan Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم adalah pada sambutan yang bersih dari perkara-perkara mungkar yang dikeji yang perlu kita ingkari. Jika sambutan tersebut mempunyai perkara-perkara yang mungkar seperti percampuran antara lelaki dan perempuan, melakukan perkara-perakra yang haram, pembaziran dan apa jua yang tidak akan diredhai oleh sohibul maulid صلى الله عليه وسلم sendiri, maka tidak syak lagi pengharamannya dan tegahan padanya karena ia mengandungi perbuatan yang haram. Oleh itu tegahan ini adalah perkara yang mendatang (‘aridh) bukan zat sambutan itu sendiri. Sesiapa yang meneliti perkara-perkara ini tentu jelas sekali.
.
__________________________________________________________
Catatan kaki:
1)      al-Hafiz Syamsuddin ibn al-Jazari menyebut didalam kitabnya ‘Urf al-Ta’rif bi Muulid asy-Syarif:

قد رؤى أبو لهب بعد موته في النوم، فقيل له: ما حالك؟ فقال: في النار إلا أنه يخفف عني كل ليلة اثنين وأمص من بين إصبعي ماء بقدر هذا، وأشار لرأس أصبعه، وإن ذلك بإعتاق لثويبة عند ما بشرتني برلادة النبي صلى الله عليه وسلم وبإرضاعها له.
Artinya: Bahawa seseorang (yakni Sayyiduna Abbas رضي الله عنه) bermimpi melihat Abu Lahab selepas kematiaannya. Maka dia bertanya tentang keadaannya? Abu Lahab menjawab: Aku berada di dalam neraka tetapi diringankan azabku pada setiap malam itsnin dan aku menghisap air diantara 2 jariku sekadar ini (sambil mengisyaratkan hujung jarinya). Yang demikian itu karena aku membebaskan Tsuwaibah ketika dia mengkhabarkan kepadaku tentang berita gembira mengenai keputeraan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dan karena aku telah menyuruhnya menyusukan Muhammad صلى الله عليه وسلم.
Sekiranya Abu Lahab seorang kafir yang dicela di dalam al-Quran mendapat balasan di dalam neraka karena kegembiraannya diats keputeraan Rasulullah صلى الله عليه وسلم apatah lagi perasaan gembira yang lahir dari hati seorang muslim yang mentauhidkan Allah?
2) Asy-Syeikh Dr Isa bin Abdullah Mani’ al-Himyari menyatakan di dalam Bulugh al-Ma’mul fi al-Ihtifa’ wa al-Ihtifal bi Maulid ar- Rasul, nash ini menunjukkan dengan jelas tetnag keharusan menyambut maulid Nabi صلى الله عليه وسلم dan pada hadits ini tiada ihtimal yang lain.
Beliau berkata melalui hadits diatas, saya tidak mendapati sebarang jawapan yang menyokong pendapat golongan anti-maulid ini. Malah sekiranya mereka berpegang bahawa sambutan maulid Nabi صلى الله عليه وسلم hanya dibolehkan dengan melakukan ibadah puasa dan tidak boleh dilakukan dengan ibadat lain lain seperti membaca shalawat, membaca sirah Nabi صلى الله عليه وسلم , bersedekah dan sebagainya, maka golongan ini termasuk didalam golongan ahli zahir, yang hanya mengikut buta zahir hadits tanpa merujuk kepada kaedah usul dan mereka mengkhususkan hadits ini tanpa ada dalil yang mengtakhsiskannya.
3) Ad-Durrul Mantsur Juz 3, Halaman 308
4) Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim dalam kitab sahih mereka.
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قدم المدينة فوحد البهود صياما يوم عاشوراء، فقال لهم رسول الله صلى الله عليه وسلم: ما هذا اليوم الذي تصومونه؟ فقالوا: هذا يوم عظيم أنحى الله فيه موسى وقومه، وغرق فرعون وقومه، فصامه موسى شكرا، فنحن نصومه، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: فنحن أحق وأولى بموسى منكم، فصامه رسول الله صلى الله عليه وسلم، وأمر بصيامه.
Artinya: “Sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Setelah sampai ke Madinah, maka baginda mendapati kaum Yahudi sedang berpuasa hari ‘Asyura. Maka baginda bertanya kepada mereka: apakah hari kamu berpuasa ini? Jawab mereka: Iannya adalah hari yang besar, dimana Allah menyelamatkan Musa dan kaumnya dan Allah menenggelamkan Fir’aun dan kaumnya. Maka Musa berpuasa karena bersyukur keatasnya dan kami berpuasa karena bersyukur (diatas ni’mat tersebut). (Mendengar jawapan mereka) maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم.pun bersabda: Kami lebih berhak dan lebih utama (memperingati) Musa daripada kalian. Maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Pun berpuasa dan memerintahkan (shahabat-shahabat baginda) berpuasa (pada hari tersebut).”
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa perbuatan Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Memuliakan hari Nabi Musa diselamatkan, menunjukkan bahawa menyambut maulid Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Adalah disyariatkan di dalam Islam, sebagaimana di dalam fatwanya yang dinaqalkan oleh al-Hafiz as-Sayuthi di dalam Husn al-Maqasid fi ‘Amal al-Maulid. (Sila lihat al-Hawi al-Fatawa) Beliau menyatakan, dari dalil diatas dapat diambil pengajaran bahawa:
a) Hendaklah kita bersyukur di atas kurniaan Allah yang telah menghapuskan kebathilan dan menegakkan kebenaran
b) Umat Islam dianjurkan supaya memperingati pada setiap tahun hari-hari yang dianggap penting dalam Islam.
Justeru, melahirkan rasa kesyukuran kepada allah boleh terhasil dengan pelbagai cara ibadat sepeti bershalat, bersedekah, membaca la-Quran dan sebaginya. Sesungguhnya apakah nikmat yang lebih besar daripada nikmat dikurniakan seorang Nabi pembawa rahmat kepada kita?
5) Diantara penyair-penyair Rasulullah صلى الله عليه وسلم adalah Sayyiduna Hasan bin Tsabit, Sayyiduna Abdullah bin Rawahah dan Sayyiduna Ka’ab bin Malik رضي الله عنهم .
Satu ketika, Ka’ab bin Zuhair mengubah qasidah pujian untuk baginda صلى الله عليه وسلم . Setelah mendengar pujian disampaikan oleh Ka’ab, Nabi صلى الله عليه وسلم meleaskan burdah (selendang)nya dan memakaikan kepada Ka’ab sebagai hadiah sekaligus sebagai ungkapan bahawa baginda meredhainya.
Baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم juga pernah mendoakan Abdullah bin Rawahah setelah baginda mendengar syair dibacakan oleh Abdullah bin Rawahah. Baginda berdoa:
وأنت، فثبتك الله يا ابن رواحة
Artinya: Dan engkau wahai Abdullah Rawahah, semoga Allah meneguhkanmu. Doak Rasulullah صلى الله عليه وسلم ini membuktikan bahawa baginga senang mendengar syair pujian untuk baginda.
6) Berkumpul untuk melakukan sesuatu yang baik adalah digalakkan berdasarkan kepada sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم,
لا يقعد قوم يذكرون الله إلا حفتهم الملآ ئكة وغشيتهم الرحمة ونرلت عليهم السكينة وذكرهم الله فيمن عنده رواه مسلم
Artinya: Tidak duduk suatu kaum yang berzikir kepada Allah melainkan mereka dikelilingi oleh para malaikat, dicucuri rahmat, diturinkan ketenangan dan Allah meyebut mereka kepada para malaikat yang berada disisiNYA. (Hadits riwayat Imam Muslim)
7) Persoalan ini dibahaskan panjang lebar oleh para ulama. Insyaallah sekiranya diberi kesempatan olehnya, saya akan menulis sedikit tentang persoalan bid’ah serta pembahagiannya menurut pengertian para ulama’ kita.
8 ) Menurut Sayyid Muhammad al-Maliki, perkara ini berlaku di Haramain (Mekah dan Madianh) selama beberapa tahun tetapi telah ditinggalkan. Apa yang berlaku, ketika mereka melakukannya, mereka menyatakan bahawa perbuatan ini adalah baik tetapi apabila mereka meniggalkannya, maka mereka mengatakan bahawa perbuatan itu adalah sesat. Atau dalam erti kata lain, mula-mula perbuatan yang baik tetapi kemudiannya menjadi kemugkaran. Apakah boleh tergambar atau diterima oleh orang yang beraqal warak sesuatu perkara yang sama boleh menjadi baik dan tidak baik.
Pendapat Syaikh Ibnu Taimiyah Mengenai Maulid
Syaikh Ibnu Taymiyyah telah berkata: Kadangkala diberikan pahala kepada sebahagian manusia ketika melakukan maulid. Begitulah seperti mana yang dilakukan oleh masyarakat samada sebagai menyerupai orang Nasrani pada kelahiran Nabi Isa عليه السلام, atau karena kecintaan kepada Nabi صلى الله عليه وسلم dan membesarkan baginda صلى الله عليه وسلم . Dan Allah mungkin memberi pahala di atas kasihsayang dan kesungguhan ini, tidak karena bid’ahnya amalan ini.
Kemudian Ibnu Taimiyah berkata lagi: Ketahuilah, bahawa diantara amalan-amalan itu ada yang mengandungi kebaikan karena itu ianya disyariatkan. Ada juga amalan yang berupa bid’ah sayyiah atau seumpamanya, maka amalan ini salah dan satu penyelewengan daripada agama, seperti hal dan keadaan orang munafiq dan fasiq.
Hal ini telah dilakukan oleh ramai orang pada akhir-akhir ini. Disini saya bentangkan dua cara dari segi adab untuk mengatasinya:-
Pertama: Hendaklah kamu berpegang teguh pada sunnah Rasulullah صلى الله عليه وسلم zahir dan bathin pada diri kamu dan mereka yang taat kepada kamu. Juga hendaklah kamu taat kepada yang ma’ruf dan ingkar kepada yang mungkar.
Kedua: Hendaklah kamu menyeru manusia supaya melakukan sunnah seberapa terdaya. Dan jika terdapat orang yang melakukan demikian hendaklah kamu terus galakkan, kecuali jika ianya mendatangkan tidak baik. Jangan menyeru kepada meninggalkan yang mungkar dengan melakukan yang lebih mungkar. Jangan meninggalkan perbuatan yang wajib atau sunnah, karena dengan meninggalkannya kamu telah melakukan sesuatu yang lebih mudharat daripada melakukan yang makhruh.
Sekiranya ada bid’ah yang berunsur kebajikan, seberapa daya gantikan dengan kebajikan yang disyariatkan, karena memang tabiat manusia tidak mahu meninggalkan sesuatu kecuali ada gantinya. Hendaklah jangan kita lakukan amalan yang baik kecuali kita lakukan amalan yang sama baiknya atau yang lebih baik lagi.
Memuliakan peringatan maulid, dan sewaktu-waktu menjadikannya sebagai amalan yang adakalanya dilakukan oleh setengah orang, mendapat pahala yang besar, karena mereka mempunyai niat yang baik dan mengandungi unsur-unsur memuliakan Nabi صلى الله عليه وسلم, sebagaimana yang saya sebutkan tadi. Tetapi adakalanya amalan yang baik bagi sesetengah mu’min, dipandang buruk oleh mu’min yang lain.
Imam Ahmad pernah diberitahu bahawa seorang putera raja telah membelanjakan lebih kurang 1,000 dinar untuk sebuah al-Quran. Maka jawabnya, walaupun mahu dibelanjakan dengan emas sekalipun biarkanlah. Padahal menurut mazhab Imam Ahmad menghiasi al-Quran itu adalah makhruh.
Ada juga yang berpendapat bahawa perbelanjaan 1,000 dinar itu adalah untuk memperbaharui kertas dan tulisan. Tetapi maksud Imam ahmad masalah ini ada bercampur kebaikan dan keburukannya. Maka itu tidak digemarinya.(9)
Pendapat saya (Sayyid Muhammad ibn Alwi al-Maliki) mengenai maulid
Pendapat kita, sesungguhnya sambutan kelahiran Nabi صلى الله عليه وسلم yang mulia tidak mempunyai kaifiat yang tertentu yang perlu diikuti oleh semua orang atau cara yang kita wajibkan atas semua. Bahkan, bahawa apa sahaja yang boleh menyeru umat manusia ke arah kebaikan, mengumpulkan mereka atas petunjuk Allah, serta mendidik mereka kepada apa juga yang boleh memberi manfaat kepada agama mereka, boleh merealisasikan tujuan maulid nabi ini.
Oleh yang demikian, jika kita berkumpul dalam majlis puji-pujian ke atas Nabi صلى الله عليه وسلم yang mana padanya ada ingatan terhadap kekasih kita صلى الله عليه وسلم, keutamaan baginda, jihad baginda serta khususiat baginda, (walaupun kita tidak membaca kitab maulid yang dikenali ramai, – seperti maulid ad-daibaie dan al-barzanji – karena ada sebahagian yang menyangka bahawa majlis maulid itu tidak akan sempurna melainkan dengan membaca kitab-kitab tersebut), kemudian kita mendengar pula apa yang diperkatakan oleh para pendakwah dalam memberi peringatan dan petunjuk, serta apa yang dibacakan oleh qari’ daripada ayat-ayat Al-Qur’an.
Saya (as-Sayyid Muhammad Alwi al-Maliki) ada mengatakan: Jika kita melakukan demikian, sesungguhnya ia telah termasuk dalam lingkungan makna maulid Nabi yang mulia, dan tercapailah maksud sambutan ini, dan saya melihat ia tidak diperselisihkan oleh sesiapa jua.
.
____________________________________________________________
Catatan kaki:-
(9) Begitulah pendapat Ibnu Taymiyah yang jelas tidak mengingkari sambutan ini, walaupun beliau mengingkari apa-apa perbuatan mungkar yang ada pada sambutan ini (sama seperti fahaman kita yang telah diterangkan sebelum ini). Malah Ibnu Taymiyah menyamakan hukum sambutan ini dengan jawapan Imam Ahmad pada perbelanjaan besar untuk menghiasi mushaf. Namun demikian mereka yang mengingkari sambutan ini, akan menggunakan pendapat Ibnu Taymiyah secara umum dalam memerangi bid’ah (yang sesat – pada pandangan mereka) sambutan maulid Nabi صلى الله عليه وسلم, sambil meninggalkan apa yang dikatakan sendiri oleh Ibnu Taymiyah dalam perkara ini secara khusus. Semoga Allah memberi hidayah kepada semua.

Berdiri ketika Sambutan Maulid Nabi
Adapun amalan berdiri pada Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم , iaitu ketika mana disebutkan tentang keputeraan Nabi صلى الله عليه وسلم ke dunia, maka sesungguhnya sebahagian orang menyangka bahawa perbuatan adalah salah, tidak mempunyai asal (dalil) disisi ahli ilmu.
Tidak ternafi juga salah faham ini juga ada pada mereka yang menyambutnya, tetapi di kalangan mereka yang benar-benar jahil yang tidak boleh kita ambil kata-kata mereka. Salah faham ini ialah, berdiri ketika sambutan ini sebagai menyambut kedatangan baginda Nabi صلى الله عليه وسلم dengan jasad baginda yang mulia. Antara salah faham yang lebih teruk lagi ialah kononnya wangian dan air yang diletakkan di tengah-tengah majlis adalah minuman yang disediakan untuk baginda صلى الله عليه وسلم.
Sangkaan-sangkaan begini tidak patut ada pada fikiran kita ummat Islam, dan kita berlepas diri dari sangkaan buruk begini, karena hal ini dikira biadab terhadap Rasulullah. I’tiqad sebegini tidak timbul melainkan dari orang mulhid atau pendusta. Persoalan di alam barzakh tidak diketahui oleh sesiapa pun melainkan Allah.
Malah kita meyakini bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم lebih sempurna dan mulia dari sangkaan kononnya baginda keluar dari kubur dengan jasad baginda yang mulia dan datang ke majlis pada waktu-waktu tertentu. Saya mengata hal ini adalah dusta serta biadab yang terbit dari orang yang benci, dengki atau atau seorang yang bodoh sombong. Namun begitu kita memang beriktiqad bahawa baginda صلى الله عليه وسلم hidup dalam kehidupan barzakh yang sempurna yang sesuai dengan kedudukan baginda.
Dan sesuai dengan hidup yang sempurna tersebut roh baginda boleh pergi ke merata tempat di alam malakut Allah, dan boleh menghadiri majlis-majlis kebajikan dan acara-acara yang dipenuhi cahaya Allah dan ilmu pengetahuan. Begitu jugalah arwah para mukminin yang sebenar.yang mengikuti baginda.
Imam Malik rahimahullahu Ta’ala pernah berkata :
بَلَغَنِيْ أَنَّ الرُّوْحَ مُرْسَلَةٌ تَذْهَبُ حَيْثُ شَاءَتْ
Artinya: Telah sampai kepadaku khabar bahawa roh dapat pergi ke mana-mana dihendaki.
Salman al-Farisi radhiyallahu ‘anhu pula berkata:
أَرْوَاحُ المُؤْمِنِيْنَ فِيْ بَرْزَخٍ مِنَ الأَرْضِ تَذْهَبُ حَيْثُ شَاءَتْ
Artinya: Roh-roh orang mukmin di alam barzakh, pergi ke mana dikehendaki. (Sebagaimana tersebut didalam kitab ar-Ruh oleh Ibn Qayyim, mukasurat 144)
Setelah engkau telah mengetahui semuanya itu, maka ketahuilah bahawa berdiri ketika sambutan maulid bukanlah wajib mahupun sunnah, dan tidak betul kita beriktiqad sedemikian. Malahan ia adalah satu harakat (gerakan) yang menggambarkan kesukaan dan kegembiraan manusia ketika mana disebutkan bahawa baginda صلى الله عليه وسلم lahir ke dunia, para pendengar dapat menggambarkan bahawa seluruh alam bergembira dan seronok dengan nikmat ini, maka mereka pun berdiri bagi menunjukkan kegembiraan ini.
Oleh itu, ia adalah masalah kebiasaan semata-mata bukan keagamaan, dan ia bukanlah ibadah, syariah atau sunnah tetapi apa yang dilakukan oleh kebiasaan manusia. Pendapat ulama tentang berdiri ketika membaca maulid Walaupun kita sebutkan sebelum ini bahawa berdiri ketika disebutkan keputeraan Nabi صلى الله عليه وسلم adalah soal kebiasaan manusia, bukanlah suatu ibadah sunnah atau wajib, terdapat juga sebahagian ulama yang memandang baik perkara ini.
Shaikh Ja’afar al-Barzanji rahimahullahu Ta’ala, yang merupakan salah seorang penyusun kitab maulid, ada mengatakan :
وقد استحسن القيام عند ذكر مولده الشريف أئمةٌ ذوو رواية ورويّه ، فطوبى لمن كان تعظيمه صلّى الله عليه وسلّم غاية مرامه ومرماه
Artinya: Adalah dipandang baik dikalangan ulama yang mempunyai riwayat dan penelitian, perbuatan berdiri ketika kisah keputeraan baginda صلى الله عليه وسلم disebutkan. Maka beruntunglah sesiapa yang melakukannya dengan tujuan untuk membesarkan Nabi صلى الله عليه وسلم.
Kami maksudkan ‘baik’ disini ialah karena harusnya hal itu dari segi zatnya, asalnya dan puji-pujian bagi Nabi صلى الله عليه وسلم yang dituntut dari mula kebangkitan itu sehingga kesudahannya. Maksud ini tidak boleh dibandingkan dengan makna yang diistilahkan pada usul fiqh.
Penuntut-penuntut ilmu yang kurang pengetahuannya pun tahu bahawa isitilah استحسن (memandang baik) itu digunakan pada perkara-perkara yang biasa difaham oleh segolongan manusia, seperti misalnya mereka berkata, “Saya dapati kitab ini baik. Perkara ini dipandang baik. Orang-orang telah menyukai perjalanan tersebut.” Maksud mereka ialah pandangan biasa dari segi bahasa. Jika tidak demikian, nescaya semua perkara-perkara itu berasal dari segi syara’, tetapi orang yang beraqal dan yang mengetahui ilmu usul fiqh tidak berkata begitu.
Beberapa Alasan Untuk Memandang Baik Berdiri Semasa Membaca Maulid
1) Kebiasaan berdiri dalam memperingati maulid pada detik-detik kisah keputeraan Rasulullah صلى الله عليه وسلم disebutkan, dilakukan oleh kaum Muslimin di perlbagai negeri, kawasan dan daerah. Para ulama di timur dan di barat juga memandangnya sebagai kebiasaan yang baik. Tujuannya tiada lain dari memuliakan, membesarkan pihak yang diperingati maulidnya, iaitu junjungan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Dan apa yang dipandang baik oleh muslimin, maka ia adalah baik di sisi Allah dan apa yang dipandang keji maka ia adalah keji di sisi Allah seperti mana yang kita telah sebutkan sebelum ini dalam hadis mauquf daripada Ibn Mas’ud radhiyallahu ‘anhu.
2) Berdiri hormat bagi menghormati ahlul fadhl adalah disyariatkan dan dalil-dalil yang mentsabitkannya banyak terdapat didalam sunnah. Malah Imam Nawawi rahimahullah Ta’ala telah menyusun bab ini dalam satu bahagian tersendiri dan ia diperkuatkan lagi oleh Imam Ibn Hajar rahimahullah Ta’ala yang telah menyanggah kata-kata mereka yang menolak (iaitu Ibnu al-Haj) pendapat Imam Nawawi dalam perkara ini dalam satu kitab yang lain yang bernama: رفع الملام عن القائل باستحسان القيام
(3 Diriwayatkan dalam sebuah hadits yang muttafaq ‘alaih bahawa baginda صلى الله عليه وسلم menyeru kepada kaum Ansar :
قُوْمُوْا إِلىَ سَيِّدِكُمْ
Artinya: “Berdirilah bagi penghulu kalian”.
Perintah berdiri ini adalah sebagai menghormati dan mengagungkan Sayyidina Sa’ad radhiyallahu ‘anhu, dan bukanlah karena beliau sedang sakit ketika itu.
Ini karena jika perintah ini hanya disebabkan Sayyidina Sa’ad sedang sakit, tentulah baginda akan memerintah : قوموا إلى مريضكم “berdirilah bagi menyambut orang yang sedang sakit di kalangan kalian”, dan bukannya, berdirilah bagi penghulu kalian.(10)
4) Antara petunjuk Nabi صلى الله عليه وسلم adalah baginda selalu berdiri sebagai menghormati dan menyambut sesiapa yang masuk berjumpa baginda. Ini seperti mana yang baginda lakukan sendiri ketika mana baginda berdiri menyambut puteri baginda Sayyidah Fathimah رضي الله عنها, dan menyatakan penghormatan baginda untuk beliau. Begitu juga perintah kepada kaum Ansar untuk berdiri menyambut penghulu mereka. Maka ini menunjukkan pensyariatan berdiri, dan baginda صلى الله عليه وسلم adalah yang paling berhak kita agungkan dari para sahabat tadi.(11)
5) Mungkin dikatakan bahawa penghormatan tersebut boleh jika pada masa hayat dan kehadiran baginda صلى الله عليه وسلم, dan ketika sambutan maulid ini baginda tidak hadir. Jawapannya adalah, para pembaca maulid yang mulia menggambarkan di dalam jiwa mereka hadirnya baginda صلى الله عليه وسلم.
Dan gambaran ini merupakan suatu perkara yang terpuji dan dituntut, malah mesti dilakukan setiap waktu dalam minda setiap muslim yang benar-benar beriman, bagi menyempurnakan ketaatan dan menambahkan kecintaan kepada baginda صلى الله عليه وسلم. Mereka berdiri sebagai tanda hormat dan mulia dengan gambaran yang ada pada jiwa mereka berkenaan Rasul yang agung ini, sambil merasakan kemuliaan dan keagungan kedudukan baginda. Dan ini merupakan suatu perkara yang biasa, seperti mana disebutkan sebelum ini. Malah menghadirkan demikian itu adalah suatu yang mesti bagi menambahkan rasa penghormatan kepada baginda صلى الله عليه وسلم.
____________________________________________________________
Catatan kaki:-
(10) Selain itu tentulah tidak diperintahkan semua orang berdiri bagi menyambutnya, karena cukuplah sebahagian sahaja yang berdiri menyambut orang yang sakit. Di sini jelas bahawa perintah berdiri bagi memuliakan seseorang adalah disyariatkan.]
(11) Terdapat beberapa hadits lagi yang menunjukkan bahawa baginda berdiri karena menyambut seseorang antaranya:-
قالت أم المؤمنين عائشة رضي الله عنها: قدم زيد بن حارثة المدينة والنبي صلى الله عليه وسلم في بيتي، فقرع الباب فقام إليه فاعتنقه وقبله
Artinya ( lebihkurang): Ummul Mu’minin ‘Aisyah berkata: Ketika Zaid bin Haritsah tiba ke Madinah, dan ketika itu baginda sedang berada dirumahku. Maka Zaid mengetuk pintu rumahku. Maka Nabi صلى الله عليه وسلم berdiri menyambut kedatangannya, lalu memeluk dan menciumnya.
أخرج أبو داود عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: كان والنبي صلى الله عليه وسلم يحدثنا فإذا قام قمنا إليه حتى نراه قد دخل
Artinya ( lebihkurang): Dikeluarkan oleh Abu Daud dari Abu Hurairah رضي الله عنه , katanya: Adalah Rasulullah صلى الله عليه وسلم berbicara dengan kami. Apabila baginda berdiri, maka kamipun sehingga melihat baginda telah pun masuk (ke dalam rumahnya).
و أخرج أبو داود في سننه: أن النبي صلى الله عليه وسلم كان جالسا يوما فأقبل أبوه من الرضاعة فوضع له بعض ثوبه فجلس عليه، ثم أقبلت أمه من الرضاعة فوضع لها شق ثوبه من الجانب الآخر، ثم أقبل أخوه من الرضاعة فقام فأجلسه بين يديه
Artinya ( lebihkurang): Dikeluarkan oleh Abu Daud di dalam sunannya bahawa pada suatu hari Nabi صلى الله عليه وسلم sedang duduk. Lalu datang ayah susuan baginda. Baginda membentangkan kain baginda untuknya, dan dia (ayah susuan baginda) duduk diatasnya. Kemudian datang pula ibu susuan baginda. Baginda membentangkan bahagian dari kain baginda, dan dia (ibu susuan baginda) duduk diatasnya. Setelah itu datang saudara susuan baginda, maka baginda berdiri mempersilakan duduk bersama baginda.

No comments:

Post a Comment

Tentang Saya